BERITA SEMASA

Tuanku Muhriz perkenan terima penzahiran Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11

KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima menghadap bagi istiadat penzahiran kejadian Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 di Istana Besar Seri Menanti, sekali gus memperakui pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai penyandang baharu jawatan berkenaan.

Dalam istiadat tersebut, Muhammad Faris Johari, 29, menghadap Tuanku Muhriz bagi menzahirkan dirinya sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 selepas dipilih mengikut adat oleh Luak Sungei Ujong.

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana istiadat penzahiran kejadian Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Beta dengan sukacitanya berkenan menerima penzahiran kejadian Muhammad Faris Johari sebagai Orang Kaya Beta, Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 dengan gelaran Datuk Klana Petra.

“Pelantikan ini selaras dengan perbilangan adat, patah tumbuh hilang berganti.

“Beta menyambut baik lafaz taat setia yang disembahkan Orang Kaya Beta. Beta menerimanya dengan penuh penghargaan dan berharap segala janji yang dilafazkan akan sentiasa dipegang dengan penuh keikhlasan, amanah dan rasa tanggungjawab,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan Muhammad Faris supaya sentiasa menjunjung taat setia kepada institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan erat dan penuh hormat dengan baginda serta institusi istana.

Menurut baginda, hubungan yang diasaskan atas prinsip saling menghormati, kepercayaan dan muafakat merupakan tunjang penting dalam memastikan kelangsungan pemerintahan beraja, kedaulatan adat serta kesejahteraan negeri terus terpelihara.

“Beta menyeru rakyat di Luak Sungei Ujong dan seluruh Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung agar bersama-sama kepimpinan adat memperkemas dan melaksanakan segala urusan serta tanggungjawab adat dengan sebaik-baiknya.

“Hormati dan junjunglah nilai adat yang diwarisi sejak zaman-berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu, Alam Berajo.

“Selain itu, peliharalah tali persaudaraan dan hubungan baik sesama kita, ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titah baginda.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin.

Hadir sama ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Faris yang merupakan seorang akauntan berusia 29 tahun dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11.

Sebelum ini, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menerima pemberhentian Datuk Mubarak Thahak sebagai penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong Ke-10.

Aminuddin berkata, keputusan itu dibuat menerusi sidang khas yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button