LUAR NEGARA

Polis Itali rampas dadah bernilai RM2.35 juta disembunyi dalam gua pulau peranginan

ROME – Polis Itali merampas 40 kilogram dadah jenis hasyisy yang dianggarkan bernilai lebih AS$500,000 (RM2.35 juta) selepas menemui bekalan itu disembunyikan di dalam sebuah gua di Pulau Ponza, sebuah destinasi peranginan terkenal di negara itu.

Rampasan melibatkan 330 blok hasyisy itu dilakukan hasil operasi risikan dan pemantauan rapi di kawasan gua Chiaia di Luna yang hanya boleh diakses melalui laut, lapor CNN.

Menurut polis Ponza, pintu masuk gua berkenaan dipantau selepas pihak berkuasa mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan tersebut.

Siasatan awal percaya, bekalan dadah itu dibawa masuk menggunakan bot kecil dari Anzio di tanah besar sebelum disembunyikan bagi memenuhi permintaan pasaran sempena musim pelancongan, musim panas dan cuti umum perayaan Saints Peter & Paul.

Operasi berisiko tinggi itu dilaksanakan dengan kerjasama Skuad Unit Tentera Laut ke-4 Operasi Tentera Laut Gaeta bersama polis kewangan Guardia di Finanza cawangan Ponza.

Pihak berkuasa memaklumkan penyelam gua terpaksa melalui laluan terowong yang sempit dari sebuah bot bagi memasuki gua berkenaan sebelum berjaya menemui simpanan dadah tersebut.

“Aktiviti siasatan yang dijalankan melalui perkhidmatan risikan, pemantauan wilayah dan pengawasan membawa kepada penemuan sejumlah besar dadah ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Ponza, Francesco Ambrosino berkata, pulau berkenaan dijangka menerima kira-kira 15,000 pelancong sepanjang cuti hujung minggu ini, jauh melebihi jumlah penduduk tetapnya yang hanya sekitar 3,000 orang.

“Hanya lima anggota polis ditempatkan di pulau seluas 7.7 kilometer persegi itu sekali gus menjadikan kawalan keselamatan lebih mencabar terutama ketika musim pelancongan,” katanya.

Pulau Ponza merupakan pulau terbesar dalam kepulauan Pontine yang terletak di antara Rome dan Naples serta terkenal sebagai destinasi percutian golongan kenamaan dan selebriti antarabangsa.

Ia juga mempunyai nilai sejarah kerana pernah dijadikan tempat pembuangan dan penahanan termasuk diktator fasis Itali, Benito Mussolini yang dipenjarakan di pulau itu selama 10 hari pada Julai 1943.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button