BERITA SEMASA

Pelakon daripada siri Breaking Bad peluk Islam

ANKARA – Giancarlo Esposito, pelakon yang melonjak nama menerusi watak ikonik Gus Fring dalam siri Breaking Bad, kini dilaporkan telah memeluk Islam sewaktu kunjungannya ke Arab Saudi, semalam.

Pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Am Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, berkongsi bahawa Esposito bukan sahaja melafazkan syahadah, malah turut menunaikan solat berjemaah bersama pasukan produksinya di sebuah masjid sewaktu menjalani penggambaran di sana, lapor Saudi Gazette.

Al-Sheikh berkata, keputusan untuk memeluk Islam itu didorong oleh pengalaman manis beliau sepanjang berada di Arab Saudi, ditambah pula dengan interaksi peribadi bersama umat Islam semasa beliau terbabit dalam penggambaran di sana.

Beliau berkata, layanan mesra masyarakat setempat yang diterima sepanjang penggambaran turut mendapat penghargaan tinggi daripada Esposito.

Laporan itu menyebut bahawa satu video yang dikongsi di media sosial menunjukkan pelakon berkenaan menunaikan solat bersama anggota pasukan produksi di dalam sebuah masjid.

Sepanjang kerjayanya yang merentasi beberapa dekad dalam industri filem dan televisyen, Esposito telah menempa nama melalui lakonan cemerlang dalam pelbagai produksi tersohor seperti Better Call Saul dan The Mandalorian.

Laporan itu menyatakan beliau meraih pengiktirafan antarabangsa serta beberapa pencalonan anugerah menerusi lakonannya sebagai Gus Fring.

Menurut Saudi Gazette, Esposito kini terbabit dalam penggambaran Seven Dogs, satu daripada beberapa produksi utama yang sedang dibangunkan ketika Arab Saudi memperluas sektor hiburan dan perfilemannya serta berusaha menarik lebih banyak produksi dan bakat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button