BERITA SEMASA

IPGM tidak kompromi sebarang bentuk salah laku buli

PUTRAJAYA – Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli selain akan mengambil tindakan tegas terhadap perkara berkenaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam konteks berkenaan, IPGM memandang serius kejadian buli yang didakwa berlaku di Kuching, Sarawak seperti yang dilaporkan media, hari ini.

“Kejadian itu sedang berada dalam siasatan pihak IPGM. Tindakan tegas, iaitu hukuman tatatertib buang IPGM akan diambil ke atas mana-mana pelatih yang didapati bersalah.

“IPGM tidak berkompromi dengan salah laku buli. Pelatih guru perlu berdisiplin serta menunjukkan akhlak dan sahsiah yang baik sebagai bakal pendidik,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial kejadian buli didakwa berlaku awal pagi Jumaat lalu, membabitkan sekumpulan penuntut senior terhadap junior lelaki bagi sesi 2025/2030 di IPGM.

Difahamkan, penuntut senior terbabit didakwa mengumpulkan semua junior lelaki sebelum melakukan pelbagai bentuk penghinaan, selain menggunakan kata-kata kesat dan melakukan tindakan tidak bermoral terhadap mereka.

Berdasarkan maklumat tersebar di media sosial, perbuatan buli termasuk memaksa junior mencangkung selain melakukan aksi tidak senonoh.

Keadaan itu didakwa berlaku di hadapan pelajar lain sehingga menimbulkan rasa malu dan tertekan kepada mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button