Politik

Perdana Menteri sedia beri penjelasan isu DNAA Ahmad Zahid di Parlimen

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk memberi penjelasan di Parlimen berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Anwar ketika ditanya adakah beliau akan akur kepada desakan Ahli Dewan Rakyat supaya beliau memberi penjelasan mengenai perkara itu, menjawab;

“Mungkin, insya-Allah” katanya selepas solat Jumaat di Nasyrul Quran, Putrajaya, hari ini.

Kelmarin, beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang mendesak Perdana Menteri supaya memberi penjelasan dan pendirian berhubung kes dihadapi Ahli Parlimen Bagan Dato yang juga Presiden UMNO itu.

Cadangan itu juga turut mendapat sokongan beberapa ahli parlimen dari blok kerajaan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, memaklumkan akan memanggil bekas Peguam Negara dan Peguam Negara sekarang bagi menjelaskan keputusan DNAA Ahmad Zahid.

Anwar sebelum ini menegaskan beliau tidak campur tangan berhubung isu itu kerana peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup yang kosong susulan kematian penyandangnya, Anwar berkata jawatan itu masih terbuka untuk diisi.

Jawatan yang ketika ini dipangku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

 

Show More

Related Articles

Back to top button