Rumah cuba dipecah masuk dan kenderaan dipecahkan, Cikgu Chandra terima ancaman bunuh
KUALA LUMPUR – Seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra mendakwa rumahnya di Puchong dipecah masuk oleh tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam satu kejadian awal pagi tadi.
Perkara itu didedahkan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Firdaus, beliau menerima panggilan telefon daripada Cikgu Chandra yang memaklumkan beberapa individu tidak dikenali telah memasuki kawasan rumahnya dan bertindak merosakkan harta benda.
“Brother, ada orang nak cuba bunuh saya, katanya kepada saya dengan nafas tercungap-cungap,” tulis Firdaus dalam hantaran tersebut.
Dakwanya, tiga lelaki yang memakai topeng penuh itu dipercayai membawa parang dan memecahkan cermin kereta serta tingkap rumah sebelum cuba memecah masuk ke dalam kediaman berkenaan.
Firdaus turut meminta pihak berkuasa menyiasat kejadian itu serta mengenal pasti individu yang terlibat.
“Siapakah pelakunya dan siapakah dalangnya? Mohon pihak berkuasa siasat dan tangkap kesemua pelaku serta mereka yang menghasut sehingga mereka berani melakukan semua ini,” katanya.
Menurut beliau, pihak polis dilaporkan sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian ketika hantaran tersebut dimuat naik kira-kira sejam yang lalu.
Cikgu Chandra sebelum ini mencetuskan kontroversi melalui rakaman videonya yang mengkritik dan mengulas mengenai isu pencerobohan tanah untuk pembangunan kuil haram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












