LHDN tegaskan tidak pernah hantar pautan status bayaran balik melalui portal MyTax
PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan tidak pernah menghantar pautan kepada pembayar cukai berkaitan status bayaran balik menerusi portal MyTax.
LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, tiada sebarang makluman menggunakan portal MyTax boleh dilakukan tanpa kebenaran.
Tegas LHDN, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat mengikut undang-undang.
“Ingin ditegaskan bahawa LHDN tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara ini dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu.
“Secara amnya, sebarang penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” katanya.
Tambah LHDN, pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan nama LHDN di mana-mana platform atau sebarang kegunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu, LHDN ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk e-mel, pautan dan teks Whatsapp yang mencurigakan.
Sebarang semakan maklumat berkaitan percukaian boleh dibuat menerusi saluran yang sahih seperti www.hasil.gov.my; https://mytax.hasil.gov.my atau menghubungi talian 03- 8911 1000 serta berkunjung ke pejabat LHDN berhampiran.
“LHDN memandang serius berkenaan isu ini dan meletakkannya sebagai keutamaan yang tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh LHDN dalam urusan pentadbiran percukaian.
“Oleh yang demikian, LHDN akan terus berusaha menambahbaik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif bagi menangani isu ini,” ujarnya lagi.