Berita Semasa

Sanusi angkat sumpah sebagai MB Kedah pagi ini

ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit.

Muhammad Sanusi, 49, yang dilantik semula memegang jawatan itu melafazkan sumpah taat setia di depan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 1o.15 pagi ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu, PN menang 33 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah mempertahankan kerusi DUN Jeneri selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi.

Beliau mula menjadi calon dalam pilihan raya ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) di kerusi DUN Belantek, namun tewas kepada calon BN Datuk Mohd Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Pada PRU14, beliau bertanding di DUN Jeneri dan berjaya menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PKR) dengan majoriti 2,455 undi.

Muhammad Sanusi yang berkelulusan ijazah dari Universiti Sains Malaysia mendirikan rumah tangga bersama Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan dikurniakan lima anak.

Show More

Related Articles

Back to top button