Pertembungan kuasa besar, Malaysia kekal berkecuali -PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengulangi pendirian sebagai sebuah negara bebas, berdaulat dan tidak tunduk kepada mana-mana desakan kuasa besar dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar tidak memihak yang diamalkan Malaysia sejak dahulu itu tidak berubah walaupun berdepan pertembungan geopolitik Amerika Syarikat dengan China.
Justeru katanya, tanggapan yang mengatakan Malaysia memihak kepada mana-mana kuasa besar itu dangkal dan jauh terpesong.
“Malaysia akan terus berpegang erat pada hubungan yang produktif dan bermakna dengan rakan kongsi lain sama ada rakan kongsi strategik dan komprehensif strategik yang telah lama wujud.
“Strategi pembentukan pakatan masa kini ada didorong oleh sikap persaingan yang tidak sihat. Gejala seperti ini akhirnya akan membentuk sikap yang menginjak nilai keterangkuman, empati, dan ihsan di peringkat global,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi ISIS, Profesor Datuk Faiz Abdullah.
Sementara itu Anwar berkata, Malaysia selaku tuan rumah kepada ASEAN pada tahun depan akan memainkan peranan untuk mendepani krisis di Myanmar.
“Usaha meneroka perdamaian dan menghentikan keganasan di Myanmar perlu dilaksanakan atas semangat persahabatan dan persaudaraan antara negara-negara ASEAN, khususnya menerusi pematuhan kepada Konsensus Lima Perkara yang dicapai secara bersama di Jakarta,” katanya.