SPRM bongkar kartel projek bekal baja RM1.8 billion
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan kerajaan dianggarkan bernilai RM1.8 billion.
Siasatan dilakukan termasuk beberapa siri pembongkaran di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan berkenaan, kementerian dan sembilan syarikat yang dipercayai menerima projek berkaitan.
Menurut sumber, projek di bawah kementerian berjumlah RM1.8 billion itu dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.
Melalui kontrak kerajaan itu, pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedar kepada pesawah-pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.
Siasatan mendapati pertubuhan itu telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja-baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan-bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat.
Menurut sumber, siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.
“Siasatan juga menjurus kepada kesalahan salah guna kuasa yang mungkin berlaku di mana ahli-ahli lembaga pengarah yang terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat-syarikat berkepentingan.
“SPRM telah merampas dokumen berkaitan projek tersebut di peringkat kementerian, pertubuhan dan syarikat berkaitan dan dalam peringkat kajian mendalam,” menurut sumber itu lagi.
Sementara itu, enam orang pegawai kementerian dan pertubuhan terbabit telah dipanggil SPRM untuk ditemubual.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan itu dan tidak menolak akan menahan beberapa orang yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 18 dan seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.