Covid-19: Tidak perlu panik dengan situasi di Tuaran
SERDANG – Orang ramai diminta supaya tidak mencetuskan suasana panik meskipun meskipun terdapat daerah yang diisytihar sebagai zon merah jangkitan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, situasi jangkitan Covid-19 dalam negara masih terkawal dan pengisytiharan daerah Tuaran di Sabah sebagai zon merah merupakan susulan penggunaan kod kriteria pemantauan lama.
“Kes di Tuaran kita tidak perlu panik kerana secara keseluruhannya, kes di Sabah adalah kurang daripada 100 kes setiap minggu.
“Dan kebanyakan kes yang dilaporkan pula adalah yang berisiko rendah, dan berada dalam kategori 1 dan 2,” kata Dr. Zaliha.
Dr. Zaliha berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Beliau menambah, pengurusan kes Covid-19 di daerah berkenaan masih menggunakan standard klasifikasi zon wabak yang lama, dan sudah tidak lagi digunakan oleh kementerian.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengesahkan satu zon merah Covid-19 dilaporkan di Tuaran berikutan peningkatan mendadak kes positif sepanjang minggu lalu.
Beliau berkata, sebanyak 26 kes baharu disahkan sepanjang minggu lalu berbanding 18 kes pada minggu sebelumnya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune