Berita SemasaDalam Negeri

Mangsa banjir di Kedah, Perlis bertambah, Perak kekal

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 3,655 orang manakala di Perlis bertambah menjadi 519 orang setakat pukul 8 pagi ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat daripada 3,496 orang malam tadi, melibatkan 1,163 keluarga.

Katanya, kesemua mangsa kini ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

“Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,697 orang daripada 517 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kubang Pasu yang mencatatkan seramai 870 orang daripada 307 keluarga dipindahkan di lapan PPS.

“Di Pokok Sena melibatkan 574 orang daripada 200 keluarga di lima PPS dan Pendang merekodkan 514 orang daripada 139 keluarga di dua PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu di Perlis pula, jumlah mangsa banjir bertambah seorang setakat 8 pagi tadi dengan kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS di Arau dan Kangar.

“Kawasan yang masih terjejas banjir antaranya Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Repoh di Kangar manakala Kampung Kubang Gajah, Kampung Banat dan Kampung Behor Gelam di Arau,” kata Pengarah APM Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud.

Di Perak, jumlah mangsa banjir tidak bertambah dengan 136 orang yang ditempatkan di dua PPS di Kerian.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button