Berita Semasa

Tiada makna punya pencakar langit jika rakyat masih miskin – Sultan Perak

IPOH – Bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Baginda bertitah, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan selagi ada rakyat yang miskin dan agenda menoktahkan kemiskinan menjadi satu daripada matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.

“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan kerajaan beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.

“Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik,” titah baginda.

Dalam usaha memakmurkan negeri, titah baginda lagi, kesalinghubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat perlu diberikan perhatian.

Dan dalam usaha mengubah lanskap kemiskinan, baginda bertitah, pendidikan memainkan peranan penting bagi mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan dan menaik taraf kehidupan rakyat.

“Walaupun dasar berkaitan pendidikan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kerajaan beta juga boleh melaksanakan inisiatif untuk membantu memastikan kadar tinggi kehadiran murid ke sekolah, dan menyediakan pelbagai insentif untuk menarik minat murid agar terus berada di bilik darjah.

“Tumpuan perlu diberikan kepada agenda pendidikan terutamanya kepada generasi kedua, agar kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi akan datang; di sebaliknya akan berlaku mobiliti sosial keluarga ke tingkat yang lebih tinggi.

“Usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh kerajaan beta telah menyinarkan cahaya keyakinan. Berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 ialah seramai 9,402 ketua isi rumah,” titah baginda lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button