Ustaz Don Daniyal direhatkan terus – Suhaimi Sulaiman
KUALA LUMPUR – Selepas dibenarkan semula menyambung tugas sebagai pengacara Salam Baitullah di RTM, pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal sekali lagi direhatkan selepas mencetuskan kontroversi malam tadi.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman dalam satu ciapan di platfom X hari ini.
Suhaimi dalam kenyataan menyatakan kekecewaan terhadap pendakwah itu selepas sekali lagi gagal mematuhi garis panduan ketika mengendalikan program tersebut.
“Bila bagi peluang, ‘consult authority’ dan ahli agama, ‘remind’ apa yang boleh cakap dan apa yang tak boleh, kenalah pandai ‘anticipate response from viewers’.
“Wisdom kena ada, kawalan diri kena mantap. Don’t play victim. So sorry have to rest you. Maaf semua, hang in there team,” ciap Suhaimi di platform X, petang ini.
Semalam, Ustaz Don Daniyal diumumkan dibenarkan untuk kembali semula ke udara selepas pertemuannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan kontroversi yang tercetus.
Don sebelum ini direhatkan daripada pengacara program di TV1 itu selepas berkongsi kisah mengenai kisah ‘cinta pertama’ Rasulullah dengan wanita bernama Ummu Hani yang diragui sandarannya.