PM seru umat Islam ambil semangat al-Quran, kukuhkan kekuatan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar mengambil semangat al-Quran bagi mengukuhkan kekuatan, meneroka bidang baru dan bijaksana menangani ancaman dalam kesabaran.
Perdana Menteri berkata, seruan tersebut penting memandangkan pelbagai cabaran yang melanda dunia Islam akhir-akhir ini.
“Di tengah cabaran yang melanda dunia Islam muktahir ini adalah penting kita mengambil semangat Al-Quran bagi mengukuhkan kekuatan dalaman umat, meneroka bidang baru dan bijaksana menangani ancaman dalam kesabaran.
“Mengambil semangat bacaan dan kefahaman dari mesej Al-Quran, ayuh kita bangkit mengangkat darjat dan harkat umat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Malam tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Majlis Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MYHQA) ke-64 Tahun 1446H / 2024 M di ibu negara.
Majlis kali ini disertai oleh 92 peserta dari 71 negara dalam acara yang akan berlangsung selama lapan hari.
Tambah Anwar, beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta termasuk para hakim antaranya Fadhilatul As-Syaikh Dr. Ahmed Musa Essa Al-Masarawy, Mesir; Fadhilatul Asy-Syaikh Tan Sri Datuk Seri Ismail Muhammad, Malaysia; Fadhilatul Asy-Syaikh Dr. Mohamed Ali Aatafay, Maghribi dan Fadhilatul Asy-Syaikh Dr Samih Ahmed Khaled Athamneh, Jordan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan agar umat Islam bermusyawarah dalam mencari kesepakatan.
“(Umat Islam) perlu berkerja dengan sepenuh hati dan seterusnya bertawakal kepada Allah SWT,” tambahnya lagi dalam kenyataan itu.