Kutipan derma untuk Abang Bas sudah cukup – kakak
KUALA LUMPUR – Kakak kepada pemuda yang dikenali sebagai ‘Abang Bas’ mengumumkan dana yang dikumpul untuk jaminan adiknya sebanyak RM30,000 telah ditutup dan mengucapkan terima kasih kepada semua penderma.
Zarinah Sari membuat kenyataan itu di akaun Facebooknya selepas sumbangan yang diterima keluarga mereka melalui akaun Ambank miliknya telah mencapai jumlah yang diperlukan untuk urusan ikat jamin.
“Saya mewakili keluarga Abang bas mohon maaf jika terdapat syak wasangka, ragu-ragu atau perkara yang tidak menyenangkan sepanjang kes Abang Bas ini.
“Sekali lagi kami mengucapkan berjuta-juta terima kasih atas sumbangan kalian. Allah yang Maha tahu. Allah tidak pernah tidur. Allah sentiasa ada,” katanya.
Pada Rabu lalu, Zarinah melancarkan tabung kutipan derma untuk menampung kos ikat jamin sebanyak RM30,000 yang ditetapkan mahkamah untuk membebaskan adiknya.
Abang Bas didakwa atas dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan selepas memuatnaik video dan menggelarkan kanak-kanak di dalam bas dipandunya sebagai ‘kesayangan atau crush’.
Tertuduh didakwa mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual di Simpang Renggam.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Pemuda berusia 24 tahun yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah itu mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Oktober ini.