Pesawat F-5E tersadai di pelabuhan bukan milik TUDM
KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan terdapat pesawat miliknya yang tersadai dan berada di sebuah pelabuhan seperti yang tular dalam media sosial.
Menurut TUDM dalam satu kenyataan, kesemua pesawat yang berada dalam pegangannya diuruskan secara sistematik dan baik.
“Susulan video dan gambar beberapa rangka pesawat (yang dikatakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat) yang tular di media sosial (Facebook, Tik Tok dan platform X), TUDM ingin menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik TUDM.
“Pihak TUDM juga ingin menjelaskan bahawa semua pesawat milik TUDM berada dalam pegangan TUDM dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Justeru, pihak TUDM menyeru agar tidak dilanjutkan sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara itu.
Terdahulu tular video pendek dan beberapa keping gambar pesawat yang diletakkan di sebuah pelabuhan bersama kontena.
Malah terdapat sebuah akaun X, mendakwa pesawat itu yang kini berada di sebuah pelabuhan dalam negara akan dijual ke pihak ketiga.