Projek Jendela fasa satu di Kampung Sungai Aur siap sepenuhnya – Fahmi Fadzil
KUCHING – Inisiatif projek Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu di Kampung Sungai Aur di sini berjaya disiapkan sepenuhnya dan mula beroperasi sejak September lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi kerja pihak U Mobile selaku kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek tersebut.
Katanya, hasil daripada kejayaan itu, sekitar 200 penduduk kampung kini memperoleh manfaat liputan serta akses kepada Internet berkelajuan tinggi melebihi 200 Mbps daripada pengendali rangkaian mudah alih Celcomdigi, Maxis dan U Mobile.
“Singgah di Kampung Sungai Aur, Kuching, Sarawak dengan menaiki bot bagi melihat sendiri projek menara telekomunikasi JENDELA fasa satu.
“Alhamdulillah, menara telekomunikasi ini telah mula beroperasi sepenuhnya sejak September lalu.
“Semoga liputan yang baik ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti,” katanya dalam hantaran di Facebooknya selepas meninjau operasi menara telekomunikasi di situ semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa.
Dalam pada itu, Fahmi menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung rapat dengan syarikat telco yang lain sekiranya pembinaan menara telah siap sepenuhnya bagi menyediakan rangkaian perhubungan secepatnya untuk rakyat.
”Setakat ini, 325 daripada 600 menara SMART telah siap dan beroperasi dalam tempoh lebih kurang setahun setelah dimuktamadkan perjanjian komersial di antara syarikat-syarikat telekomunikasi.
“Jadi, saya berharap dengan dana sebanyak RM42 juta yang disediakan oleh pihak MCMC bagi pengoperasian menara-menara ini, lebih banyak menara akan disiapkan dan rakyat akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini nanti,” tambahnya.