Berita Semasa

Tiga cedera diserang memerang

KOTA KINABALU – Dua wanita berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki 56 tahun cedera selepas diserang sekumpulan memerang ketika melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata, polis menerima maklumat kejadian pada pukul 6.40 pagi mengenai individu terbabit yang sedang berjoging, diserang sekumpulan memerang dari arah belakang.

“Susulan serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa cedera di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran.

“Bagaimanapun, polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha taman rekreasi tersebut supaya menutup operasi serta-merta susulan insiden tersebut.

Katamya, langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan taman itu bagi mengelakkan sebarang insiden lain tidak diingini. Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya menerusi kenyataan berasingan.

Show More

Related Articles

Back to top button