Lima murid sekolah, pemandu wanita nyaris maut
Kenderaan terbabas sebelum rempuh pokok
ALOR GAJAH – Lima murid sekolah rendah dan seorang pemandu wanita nyaris maut selepas kenderaan Perodua Aruz yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Lebuh AMJ dekat Sungai Petai, di sini tengah hari tadi.
Menurut Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Nazri Mat Rais, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dikeluarkan dari kenderaan tersebut oleh orang awam.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 1.34 tengah hari, dan setibanya di lokasi, anggota mendapati kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ambulans tiba.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan berkenaan terbabas melanggar pokok mengakibatkan enam mangsa iaitu pemandu wanita dan lima kanak-kanak cedera.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh petugas kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, operasi tamat pada pukul 2.05 petang selepas kerja-kerja pemotongan pokok selesai dilakukan dan memastikan tiada bahaya lain di lokasi nahas.
Insiden kemalangan tersebut turut dikongsikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang kebetulan melalui lokasi tersebut ketika dalam perjalanan pulang dari Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Serdang, Selangor.