MCMC diminta tidak laksana penghalaan semula DNS – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).
Menteri Komunikasi itu berkata, MCMC akan meneruskan siri libat urus bersama semua pemegang taruh untuk memperoleh pandangan, cadangan dan saranan bagi memastikan objektif internet yang lebih selamat dapat dicapai bersama.
Fahmi berkata, isu jenayah dalam talian termasuk akses ke laman-laman web perjudian, persundalan, pornografi dan seumpamanya amat membimbangkan dan memerlukan usaha penyelesaian yang menyeluruh.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini, demi menjamin keselamatan dalam talian buat rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
“Namun, mengambil kira pandangan yang disampaikan melalui siri libat urus MCMC serta dari khalayak umum, saya telah meminta MCMC agak tidak meneruskan pelaksanaan kaedah penghalaan pengurusan Domain Name System (DNS),” katanya dalam kenyataan di X hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen memaklumkan, arahan terhadap ISP untuk mengalihkan trafik DNS yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah.
Beliau berkata, laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat Malaysia.