Berita SemasaSukan

Hanya masalah komunikasi dalaman – Hannah

BANDAR UTAMA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, isu yang ditimbulkan penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong hanyalah satu masalah komunikasi dalaman yang boleh diselesaikan.

Kata Hannah, beliau sendiri telah berjumpa dengan Pandelela dan seorang lagi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri bagi mendapatkan sendiri penjelasan mereka.

“Seperti yang Pendelela jelaskan dalam Instagram, hari ini, bila dia balik, dia ditanya media dan dia memberikan jawapan tidak berunsurkan ada pihak ketiga atau entiti.

“Dia sudah jelaskan kepada saya mengenai keadaan atlet yang ke Doha.

“Ia bukan disebabkan campur tangan entiti atau pihak ketiga, yang saya rasa adalah mereka perlu perbaiki komunikasi dalaman membabitkan atlet, jurulatih dan persatuan, itu yang sangat penting.

“Saya rasa ini adalah masalah yang kita boleh tangani,” kata Hannah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Leap to the Stars High Jump Challenge 2024 di sebuah pusat beli belah, di sini hari ini.

Hannah menegaskan, kenyataan Pandelela berkenaan ‘entiti’ tidak bermaksud campur tangan pihak ketiga, tiada entiti dan tiada kemelut dalaman.

“Dia sudah menjelaskan kepada saya keadaan atlet yang pergi ke Doha (Kejohanan Akuatik Dunia). Cuma saya rasa jawapan yang diberikan kepada media dan laporan media itu mewujudkan salah faham.

“Saya puas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Pandelela dan Dhabitah dan saya akan berjumpa pula dengan jurulatih dan persatuan mendengar (penjelasan) daripada mereka,” kata Hannah lagi.

Baru-baru ini, Pandelela dan Dhabitah gagal memberikan persembahan terbaik ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar menyebabkan kedua-duanya gagal melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button