Ekonomi negara perlukan transformasi radikal – Rafizi Ramli
PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengadakan Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai kesinambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam usaha memperkukuh ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, negara memerlukan transformasi ekonomi yang lebih mendalam bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam suasana global yang semakin mencabar.
Katanya, walaupun ekonomi negara telah berkembang dengan ketara sejak kemerdekaan, kerajaan perlu melaksanakan reformasi radikal dan berani bagi memperkukuh asas ekonomi negara.
“Ekonomi Malaysia telah berkembang dengan ketara sejak kemerdekaan, namun kita perlu melaksanakan reformasi radikal dan berani bagi memperkukuh asas ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rafizi berkata, ASEAN dijangka menjadi pasaran pengguna keempat terbesar di dunia dalam 10 hingga 15 tahun akan datang, Malaysia perlu merebut peluang itu untuk mempertingkatkan daya saing, memacu pertumbuhan mampan dan memastikan masa depan yang makmur bagi rakyat.
“RMK13 yang akan menjadi dokumen strategik untuk hala tuju ekonomi negara akan memberi fokus kepada reformasi ekonomi secara tersusun dan mudah difahami oleh rakyat.
“RMK13 akan mencerminkan keperluan rakyat dan kekal responsif terhadap perubahan cabaran ekonomi semasa,” katanya lagi.
Bagi memastikan RMK13 memenuhi aspirasi semua lapisan masyarakat, Kementerian Ekonomi akan melancarkan inisiatif ‘Madani Mendengar’.
Jelajah itu akan berlangsung di 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan, bertujuan mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan pemikir awam, sektor swasta dan rakyat biasa.
“Kita mahu memastikan suara semua rakyat didengari dan pandangan mereka memainkan peranan penting dalam membimbing proses reformasi ini,” katanya lagi.
Selain itu, rakyat juga boleh menyampaikan pandangan mereka melalui portal RMK13 yang telah dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my.
Rafizi turut menyeru rakyat Malaysia untuk aktif mengambil bahagian dalam proses ini dengan menegaskan bahawa kejayaan RMK13 bergantung kepada kerjasama semua pihak.
“Dengan semangat kerjasama dan visi yang sama, Malaysia kini berada di ambang kemajuan ekonomi yang lebih besar melalui RMK13,” katanya lagi.