KUSKOP galak koperasi ceburi sektor tenaga hijau, pengurusan kebajikan pekerja ladang
MUADZAM SHAH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan koperasi di negara ini untuk menceburi sektor tenaga hijau dan pengurusan kebajikan pekerja ladang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi di Malaysia wajar mencontohi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) berhubung aspek berkenaan.
Beliau berkata, KOSMA bukan hanya memberi tumpuan kepada keuntungan, tetapi mengutamakan kebajikan pekerja dengan menyediakan 72 unit rumah baharu untuk mereka.
Selain itu, dalam usaha mengurangkan kos pentadbiran disebabkan pembekalan tenaga melalui genset, KOSMA telah memulakan projek solar pada pertengahan tahun 2023 dan kini mencapai 96 peratus siap yang dijangka akan meningkatkan pendapatan bersih KOSMA.
“Peralihan tenaga ladang KOSMA daripada genset yang menggunakan diesel kepada bekalan tenaga yang dijana secara solar menunjukkan keupayaan KOSMA menceburi sektor berpertumbuhan tinggi.
“Ini juga selaras dengan dasar kerajaan hari ini yang memberi fokus besar kepada peralihan tenaga hijau.
“Apa yang dibuat oleh KOSMA adalah terkehadapan dalam memberi keselesaan kepada pekerja-pekerja yang mendapatkan rumah pekerja yang lebih baik termasuk kemudahan lain seperti pengangkutan anak- anak ke sekolah, kemudahan riadah dan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Pekerja Ladang KOSMA, di Ladang KOSMA, Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar; Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamed dan Pengarah SKM Cawangan Negeri Pahang, Ibrahim Husain.
Ewon berkata, pengalaman KOSMA menempuhi pelbagai cabaran dalam pentadbiran koperasi boleh dijadikan iktibar dan motivasi kepada koperasi-koperasi lain agar melaksanakan pengurusan yang baik.
“Saya percaya bermula daripada pengalaman itu KOSMA akan terus bergerak maju ke hadapan dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang seterusnya mengulangi kembali kejayaan koperasi terbaik suatu ketika dahulu,” katanya.
KOSMA ditubuhkan pada tahun 1967, mengendalikan perladangan kelapa sawit seluas 15,150 hektar.
Selain aktiviti perladangan, KOSMA juga telah meluaskan perniagaannya dalam bidang perhotelan dengan dua hotel yang mempunyai 60 bilik serta dua cawangan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Kuantan dan Temerloh.
Tahun 2023 menyaksikan KOSMA mencatat perolehan sebanyak RM156 juta dalam aktiviti perladangan, dengan anggaran peningkatan sebanyak 30 hingga 40 peratus bagi tahun 2024, di mana pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dijangka mencapai 270,000 tan metrik.