Jenayah & Mahkamah

Lelaki cedera di punggung, terkena tembakan di luar restoran

KLANG – Polis mengesahkan satu kejadian tembakan di sebuah restoran di Lebuh Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Klang dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan di restoran itu pada jam 2.55 pagi.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian melepaskan tembakan berlaku pada 2.15 pagi di restoran berkenaan.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai warga tempatan turun dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah individu yang duduk di luar restoran itu sebelum melarikan diri dengan kenderaan sama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hoong Fong berkata, siasatan di tempat kejadian menemui lima butir kelongsong peluru, satu anak peluru serta dua kesan tembakan pada kerusi serta dua kesan pada dinding restoran itu.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun terkena tembakan di bahagian punggung sebelah kiri dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang serta berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan membunuh yang memperuntukkan penjara sampai 20 tahun.

“Pihak polis dalam usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit dalam kejadian ini.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh hadir ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button