Pihak persoal usaha kerajaan bantu rakyat Palestin biadap, tidak berperikemanusiaan – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Pihak yang mempersoalkan usaha kerajaan membela nasib rakyat Palestin sebenarnya sebagai biadap dan tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu sedemikian tidak layak menjadi rakyat yang faham dengan isu ini.
“Ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak semalam, sebenarnya saya terpanggil untuk menjawab telahan seseorang yang kebetulan bukan daripada kelompok pemerintah.
“Sarjana terbabit kata kalau bawa rakyat Palestin (ke negara ini), jangan jejak ke bumi Sarawak. Ini pandangan paling biadap, tidak tahu erti kemanusiaan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin, di sini hari ini.
Anwar seterusnya dalam nada sinis turut berkata, kumpulan berkenaan tidak layak memperjuangkan perkara itu, selain menegaskan keadaan sedemikian tidak boleh dibiar berterusan.
“Orang begini tidak layak menjadi rakyat yang faham dengan isu ini. Mujurlah ini suara kerdil dan kalau kita izinkan berterusan, ia akan membiak dan menjadi barah.
“Apa sahaja fahaman melampau, jangan kita biarkan dan kalau ia (kenyataan ekstrem) diizinkan akan menjadi barah, termasuk suara penentu,” katanya lagi.