Berita Semasa

Isu ‘counter setting’: KDN minta nama terlibat untuk buat tangkapan

KUALA LUMPUR – Sebuah media tempatan yang mendedahkan dalang sindiket ‘counter setting’ digesa untuk mengemukakan nama-nama yang terlibat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberi jaminan akan berkerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangkap individu-individu terbabit.

“Saya minta Kepong (Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng) bagitahu Malaysiakini bagi nama itu kepada kita dan kita serahkan kepada SPRM untuk tangkap.

“Dapatkan nama penuh dia. Serahkan bukti kegiatan (salah laku) dan saya beri jaminan saya akan serah kepada SPRM,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Lip Eng yang juga wakil rakyat DAP berhubung pendedahan yang dibuat sebuah agensi media tempatan berkenaan pendedahan nama melibatkan sindiket ‘counter setting’.

Pada masa yang sama, Saifuddin turut menafikan dakwaan Lip Eng yang menyatakan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing adalah menteri pertama yang mendedahkan sindiket tersebut pada Julai tahun lalu.

Saifuddin sebaliknya menegaskan bahawa sindiket tersebut sudah berlaku sejak dahulu sebelum ‘didedahkan’ King Sing lagi, selain meminta Lip Eng tidak melaga-lagakan beliau dengan Menteri Pelancongan itu.

“Elak daripada melaga-lagakan saya dengan Bintulu (King Sing). Kami kerja sebagai satu pasukan harmoni, dia tegur dan kritik saya, saya tegur dan kritik dia, itu lumrah.
 
“Counter setting ini bukan berlaku bila Bintulu tegur sahaja. Ini penyakit lama, jadi yang paling penting bukan nak cakap tentang penyakit atau masalah tetapi sebaliknya mencari penyelesaian terhadap masalah itu. KDN ke arah itu,” ujar Saifuddin.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasa bersekongkol dalam kegiatan ‘counter setting’ di pintu negara ditahan.

Show More

Related Articles

Back to top button