Kerajaan akan pastikan bakat TVET kekal relevan
KUALA LUMPUR – Kementeri Sumber Manusia (KSM) akan mengadaptasi dapatan daripada seminar ‘Tripartite’ 2024 untuk merangka strategi bagi memastikan bakat-bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal relevan.
Menterinya, Steven Sim berkata, seminar ‘Tripartite’ 2024 yang diadakan di seluruh negara sepanjang tahun ini membabitkan barisan pemegang taruh, pihak permintaan (demand), pemegang taruh pihak penawaran (supply) dan agensi kerajaan selaku pemudah cara.
“Strategi-strategi baharu dalam mendepani dan mengadaptasi perubahan dunia pekerjaan bagi pemegang-pemegang taruh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan dirangka berdasarkan dapatan seminar Tripartite 2024.
“Seminar Tripartite adalah satu daripada inisiatif untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi memastikan bakat masa depan berkemahiran yang dihasilkan melalui institusi TVET relevan dengan pekerjaan semasa, masa hadapan dan berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pelancaran seminar Tripartite 2024 di sini hari ini.
Sim berkata, platform seminar Tripartite mempertemukan wakil industri dan institusi TVET untuk berkongsi pandangan serta aspirasi, demi masa depan TVET yang lebih komprehensif dan memenuhi kehendak kedua-dua belah pihak.
“Konsep Tripatisme yang diguna pakai adalah selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI dalam penjajaran inisiatif baru kementerian bagi tahun 2024 untuk menghasilkan dasar yang lebih kolektif, inklusif dan partisipatif seterusnya memberi manfaat baik kepada semua pemengang taruh,” katanya.
Beliau berkata, lima bidang utama telah dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang tinggi (HGHV) dipilih sebagai tema utama dan akan dipadankan dengan kriteria tertentu pemegang taruh JPK bagi pelaksanaan seminar pada kali ini.
Lima bidang itu adalah industri asas tani dan hospitaliti, industri nadir bumi, industri berasaskan peralihan tenaga, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, dan industri berasaskan teknologi dan digital.
“Saya berharap agar program sebegini diadakan secara berterusan bagi mengukuhkan hubungan kerjasama industri ke arah pelaksanaan program TVET berkonsepkan berpandukan industri berimpak tinggi,” katanya.
Sim menggesa pihak industri supaya menjadi rakan kongsi strategik kementerian dengan turut mempromosikan TVET serta menonjolkan peluang kerjaya dalam sektor industri masing-masing.
Pihak industri juga boleh mengiktiraf Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai satu daripada keperluan kemasukan kerjaya dan menggalakkan sinergi perkongsian kepakaran dan peralatan lestari melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
“Jalinan kerjasama ini amat penting dalam membantu negara melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri seterusnya menyumbang ke arah pembentukan MADANI yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya.