RISDA sedia bantuan pastikan 19 mangsa terperangkap di Eco Park selamat
SLIM RIVER – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kini giat melaksanakan tindakan segera bagi menyelamatkan mangsa yang terkandas susulan insiden kepala air di Kampung Ulu Slim, di sini.
RISDA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, usaha membantu mangsa itu dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Keperluan asas seperti makanan, minuman dan alat komunikasi telah pun dihantar ke lokasi dengan bantuan pihak berkuasa semenjak malam tadi.
“Petugas bagi menyelaras keadaan turut ditempatkan bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan itu.
Semalam, seramai 19 orang termasuk enam kanak-kanak dan dua bayi terperangkap semasa menginap dan berkhemah di tapak rekreasi RISDA Eco Park, Perak.
Kejadian dipercayai berpunca daripada empangan pecah berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim pada petang semalam yang turut menjejaskan beberapa kampung di sekitar kawasan Kampung Sungai Bil, Slim River.
Tambah RISDA, setakat hari ini, mangsa kejadian berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di tempat penginapan yang terletak di lokasi selamat dan jauh daripada kawasan yang terjejas.
“Pihak Bomba dan agensi lain kini sedang memantau situasi semasa keadaan sungai dan menunggu keadaan air pulih untuk masuk ke tapak tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang terjejas,” ujarnya lagi.