Berita Semasa

Aaron Ago Dagang seru orang ramai hayati ‘cita-cita’ di sebalik Rukun Negara

PUTRAJAYA – Rukun Negara yang dibentuk untuk mencapai perpaduan dan keharmonian rakyat mempunyai dua ‘bahagian’ yang jarang diketahui umum iaitu secara prinsip dan cita-cita.

Ramai mengetahui lima prinsip utama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang
dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Namun penghayatan kurang diberikan kepada lima cita-cita Rukun Negara iaitu Menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat; Mengekalkan cara hidup demokratik; Mewujudkan masyarakat saksama; Memastikan pendekatan liberal diambil terhadap adat resam dan budaya; dan Membangunkan masyarakat progresif berasaskan sains moden dan teknologi.

Menyedari faktor saling kebergantungan antara kedua-dua ‘ramuan’ penyatuan itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat negara ini turut sama menghayati cita-cita Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Beliau berkata, ramai yang tidak sedar bahawa Rukun Negara bukan sahaja mengandungi lima Prinsip yang diketahui umum, tetapi turut membawa ‘Cita-Cita’.

“Selain prinsip, ada lima cita-cita yang digariskan dalam Rukun Negara. Sering kali kita hanya berikan tumpuan kepada lima prinsip.

“Lima cita-cita ini membawa pengertian yang lebih besar kepada soal kerukunan dan keamanan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata, ideologi melalui Rukun Negara telah memberi impak yang positif kepada pembangunan dan keharmonian negara.

Justeru beliau menyeru supaya Rukun Negara tidak hanya sekadar bermain di bibir apabila dilafazkan tetapi perlu mencerminkan perpaduan antara rakyat.

“Tidak kira generasi muda atau berusia, masing-masing mempunyai tanggungjawab besar dan harus memikul amanah negara dalam memastikan Malaysia terus aman, damai dan sentosa.

“Perpaduan bermula dari sanubari kita sendiri. Semailah semangat penyatupaduan itu dalam diri, keluarga dan komuniti, nescaya ia akan mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan muhibbah,” katanya.

Aaron juga menyeru orang ramai supaya menggunakan menggunakan platform media sosial untuk menyemaai semangat penyatuan dalam diri, keluarga dan komuniti.

 

Show More

Related Articles

Back to top button