Salah bantu kemenangan Liverpool ke atas Ipswich
IPSWICH – Mohamed Salah mengakui aksi di bawah pengurus baharu Liverpool, Arne Slot agak berbeza, selepas The Reds membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Ipswich Town.
Salah yang membuat penampilan ke-350 untuk Liverpool telah membantu Diogo Jota untuk jaringan pertama sebelum menjaringkan gol buat dirinya sendiri menandakan permulaan era baharu di Portman Road selepas berakhirnya era Jurgen Klopp.
Slot mencatat sejarah apabila menjadi pengurus Liverpool pertama yang memenangi perlawanan Liga Perdana pertamanya dan kemenangan ini juga merupakan yang pertama bagi Liverpool dalam liga teratas sejak Graeme Souness pada April 1991.
Namun Salah mengakui bahawa pemain masih menyesuaikan diri dengan sistem baharu yang diperkenalkan oleh pengendali dari Belanda itu.
“Jurgen bersama pasukan ini selama lapan tahun dan telah memberikan segalanya dengan pengurus dan sistem yang baharu, semuanya agak berbeza untuk kami.
“Kami perlu menyesuaikan diri dan tidak perlu memberi tekanan lebih kepada beliau.
“Apa yang penting, kami hanya perlu bermain bola sepak dan menikmati setiap perlawanan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kemenangan ini juga mencatat sejarah untuk Salah yang kini memegang rekod sebagai pemain dengan jaringan terbanyak (sembilan gol) dan penglibatan langsung dalam gol (14 gol) pada hari pertama perlawanan Liga Perdana.
“Harapnya saya boleh teruskan prestasi seperti ini sepanjang musim.
“Saya sentiasa cuba membantu pasukan sama ada dengan menjaringkan gol atau memberikan bantuan gol.
“Perlawanan hari ini agak mencabar cuaca panas dan Ipswich bermain dengan baik terutama di tempat sendiri.
“Penonton mereka juga memberikan sokongan padu dan kami sudah menjangkakan perlawanan yang sukar.
Saya gembira dengan kemenangan hari ini dan bangga dapat membuat perbezaan,” tambahnya lagi.