Sukan

Bruno Fernandes jadi wira United

MANCHESTER – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menjadi watak penting dengan menjaringkan satu gol dan menjadi pencetus dua lagi selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

United meraih tiga kemenangan dan satu seri dalam semua pertandingan sejak pengurus Erik ten Hag dipecat pada 28 Oktober lalu.

United dibawah kendalian sementara Van Nistelrooy, berada di tangga ke-13 dalam carta liga dengan 15 mata, empat mata di belakang tiga teratas, manakala Leicester berada di tangga ke-15 dengan 10 mata.

Fernandes, yang mengharungi 17 perlawanan terakhirnya di bawah Ten Hag tanpa menjaringkan gol, meraikan penampilan ke-250nya untuk United dengan gol pada minit ke-17.

“Sudah lama saya tidak menjaringkan gol dan kini gol akan datang dalam beberapa perlawanan terakhir.

“Satu lagi rekod bersih adalah penting bagi kami untuk mengembalikan kubu yang kami ada di sini. Kami perlu terus melakukannya dan kami perlu menambah baik,” kata Fernandes, memetik laporan Reuters.

Fernandes sekali menjadi pencetus kepada gol kedua Manchester United selepas sentuhan tonggak Portugal itu terbias Victor Kristiansen untuk jaringan sendiri pemain Foxes minit ke-38.

Pada separuh masa kedua, United meningkatkan tekanan yang akhirnya menyaksikan Alejandro Garnacho, berjaya memanfaatkan bantuan gol Fernandes minit ke-82 untuk jaringan ketiga pasukan tuan rumah.

Van Nistelrooy kembali ke kelab yang mana beliau menjaringkan 150 gol pada Jun lalu sebagai penolong Erik ten Hag. – Foto Instagram Manchester United

Sementara itu, Ruud van Nistelrooy pada perlawanan terakhirnya sebagai pengurus sementara menyifatkan empat perlawanannya sebagai pengurus sementara merupakan satu “tempoh pendek tetapi mengagumkan”.

“Saya benar-benar berseronok, ia satu tempoh yang pendek tetapi mengagumkan. Kami berada dalam kedudukan tidak menentu tetapi kami cuba melakukan tugas kami dan membantu kelab yang mana ia penting.

“Ada banyak perasaan di luar sana, cara peminat menyokong saya dan pasukan dalam detik sukar ia satu saat istimewa. Untuk menamatkan perlawanan ini dengan keputusan bagus dan hubungan yang bagus, saya benar-benar amat berterima kasih kepada mereka,” ujarnya.

Pengurus baru, Ruben Amorim akan mengendalikan pasukan apabila Red Devils berdepan Ipswich di gelanggang lawan dalam tempoh dua minggu lagi dengan masa depan Van Nistelrooy masih tidak menentu.

Show More

Related Articles

Back to top button