Sukan

City terus sengsara catat kekalahan kelima berturut-turut

MANCHESTER – Kesengsaraan Manchester City berterusan selepas mencatat kekalahan mengejut 4-0 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Kekalahan itu sekali gus menjadikan ia kali pertama Pep Guardiola mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam karier pengurusannya di semua kejuaraan.

James Maddison menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama separuh masa pertama, manakala Pedro Porro menjaringkan gol sejurus selepas rehat dan Brennan Johnson menambah gol keempat pada masa kecederaan untuk menamatkan rekod tidak pernah tewas Manchester City dalam 52 perlawanan berturut-turut di laman sendiri.

City kekal di tempat kedua dalam carta dengan 23 mata tetapi ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Liverpool, dengan The Reds mempunyai satu perlawanan simpanan, manakala Spurs naik ke tempat keenam dengan 19 mata selepas 12 perlawanan.

“Pada masa ini kami rapuh dari segi pertahanan. Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik seperti biasa tetapi kami gagal menjaringkan gol dan selepas itu kami bolos. Selepas itu kami bolos lagi, ia sukar untuk emosi kami sekarang.

“Selama lapan tahun, kami tidak pernah menghadapi situasi seperti ini. Sekarang kami perlu menghadapinya dan mengatasinya, dengan menang dalam perlawanan seterusnya, terutamanya yang berikutnya.

“Sekarang kami melihat perkara ini dengan satu cara, mungkin dalam beberapa minggu kami akan melihatnya dengan cara yang berbeza,” kata Guardiola, yang menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun Khamis lalu.

Kekalahan terakhir City di tempat sendiri dengan margin lebih empat gol dalam perlawanan kompetitif adalah apabila Arsenal mengalahkan mereka 5-1 pada 2003 di Maine Road.

Show More

Related Articles

Back to top button