Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pekerja keselamatan terlepas tembakan ditahan polis

ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan di sebuah syarikat sekuriti ditahan polis selepas senapang patah miliknya terlepas tembakan ketika sedang bertugas di Hospital Alor Gajah di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 5.30 petang di Pejabat Unit Hasil hospital berkenaan namun tidak mencederakan sesiapa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika senapang jenis Winchester yang digunakan pengawal keselamatan berusia 56 tahun itu terjatuh dan tertembak secara tidak sengaja.

“Polis menerima maklumat kejadian daripada ketua pengawal keselamatan Hospital Alor Gajah memaklumkan senjata api suspek telah terjatuh dan meletup sehingga terkena meja kaunter.

“Ketika kejadian, suspek bertugas seorang diri di dalam pejabat dan tiada pekerja lain ketika itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Ashari berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila senjata yang tidak diaktifkan kunci keselamatan itu terjatuh dari meja ketika suspek sedang berada di bilik berkenaan.

Katanya, suspek kemudian memaklumkan kejadian kepada ketua pengawal keselamatan hospital yang segera melaporkannya kepada pengadu iaitu ketua operasi syarikat sekuriti berkenaan.

“Selepas pihak hospital dan syarikat melakukan siasatan dalaman, satu laporan polis dibuat pada pukul 6.20 petang semalam di atas kecuaian suspek mengendalikan senjata api.

“Siasatan tempat kejadian oleh Cawangan D10 (Forensik), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tidak memperolehi sebarang penemuan kerana telah dibersihkan dan pejabat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, suspek telah bekerja di situ kira-kira dua tahun lalu dan mendapat lesen penggunaan senjata api sejak 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button