Kes kehilangan RM1 juta, dua pengawal keselamatan dibebaskan
AMPANG – Dua pengawal keselamatan yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang tunai RM1 juta selepas proses kutipan syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, 6 November lalu, sudah dibebaskan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, kedua-dua suspek berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Buat masa ini, katanya, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
“Selepas itu, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwaraya dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan media Rabu lalu menyebut, dua pengawal keselamatan yang merupakan lelaki dan wanita, masing-masing berusia 38 dan 52 tahun, ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 10 malam.
Sebelum itu, polis menerima laporan mengenai kehilangan sebuah beg berisi wang tunai RM1 juta daripada sebuah pusat beli belah di Ampang.
Laporan berhubung kejadian itu dibuat pada pukul 3.55 petang selepas proses kutipan dilakukan sebuah syarikat keselamatan daripada sebuah bank.
Bagaimanapun, beg berisi wang tunai berkenaan ditemukan semula pada hari sama kehilangannya oleh orang awam.