Pertukaran Timbalan Ketua Menteri tidak dibincangkan lagi – KM P. Pinang
GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini menolak spekulasi bahawa akan berlaku perubahan pada jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) II.
Kon Yeow mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo yang kini memegang jawatan tersebut sedang bercuti sakit.
“Berhubung spekulasi bahawa akan berlaku perubahan dalam kedudukannya sekarang perkara ini tidak pernah dibincangkan sebelum ini,” kata Kon Yeow dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Jagdeep telah bertemu dengannya pada 19 Julai untuk menyerahkan permohonan cuti bagi membolehkan beliau menjalani pemeriksaan pakar pada kaki kirinya, dengan kemungkinan untuk menjalani pembedahan.
“Selepas mempertimbangkan penjelasannya mengenai permohonan cuti tersebut, saya telah meluluskan cutinya selama 11 hari bermula 22 Julai hingga 5 Ogos,” katanya lagi.
“Saya dimaklumkan bahawa Jagdeep telah mula menerima rawatan yang diperlukan pada 22 Julai,” katanya.
Jagdeep sebelum ini dipetik oleh media sebagai berkata bahawa beliau sedang mendapatkan pendapat kedua mengenai masalah buku lalinya yang berlarutan.
Semalam, media melaporkan bahawa seorang ahli Majlis Eksekutif Negeri Pulau Pinang telah dinasihatkan untuk bercuti bagi menangani masalah peribadi yang didakwa menjejaskan kerjanya.