Wanita nyaris maut, kereta ditimpa bongkah konkrit lalu terbakar
SEREMBAN – Seorang wanita nyaris maut dan hanya cedera ringan setelah kereta dinaikinya dihempap bongkah longkang konkrit lalu terbakar di Jalan Mambau, di sini pagi tadi.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, PKPgB Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, kejadian pada pukul 7.20 pagi itu berlaku apabila bongkah tersebut terjatuh daripada sebuah treler lalu menghempap kenderaan berkenaan.
Tambahnya, dianggarkan lebih separuh daripada muatan treler berkenaan terjatuh termasuk ke jalan raya.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.28 pagi sebelum pasukan dari BBP Seremban 2 bergegas ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian sebelum mendapati sebuah kereta sedang terbakar.
“Kami menjalankan operasi pemadaman api, namun kereta berkenaan tidak dapat diselamatkan dan hangus 100 peratus. Pemandunya berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, maklumat daripada pemandu kereta jenis Proton Saga FLX, bongkah longkang yang dibawa treler dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun itu didakwa terjatuh ke atas keretanya di bahagian hadapan.
“Akibatnya kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun itu mula terbakar dipercayai bermula dari bahagian enjin.
“Sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30 tahun dikatakan tidak sempat mengelak bongkah yang terjatuh di jalan raya menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu belakang.
“Kejadian juga menyebabkan kesesakan kira-kira 7 kilometer di kedua-dua arah. Operasi mengalihkan bongkah dan sisanya masih dijalankan,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune