MOSTI sambut baik cadangan tubuh pasukan khas, sedia bekerjasama dengan KPM
PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik cadangan menubuhkan pasukan khas bagi memupuk minat bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, MOSTI bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) atas cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Jelasnya, usaha tersebut mampu menarik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
“Saya rasa ini adalah isu mendesak, di MOSTI kita lebih daripada gembira berada dalam pasukan khas. MOSTI akan memberikan kerjasama sebaik mungkin untuk menjayakan inisiatif ini.
“Kita ada usaha untuk mempromosi dan mengarus perdanakan sains, teknologi dan inovasi. Salah satu inisiatif, kami bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi untuk menganjurkan Innovathon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa perjumpaan MOSTI bersama pemain industri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Li Kang berkata kerjasama MOSTI dan Kementerian Ekonomi dalam mewujudkan program realiti televisyen Innovathon telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 1,000 permohonan telah diterima.
“Kita sudah mula proses uji bakat dan bulan depan kita akan mulakan episod dan setakat ini maklum balas sangat memberangsangkan.
“Saya dimaklumkan inovator paling muda ialah berumur 8 tahun dan ini sesuatu yang sangat positif,” ujarnya lagi.