Berita Semasa

LHDN laksana Ops Bayu

CYBERJAYA – Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini melaksanakan Ops Bayu bagi menangani isu ketidakpatuhan cukai serta menyokong usaha kerajaan memperkukuh asas fiskal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik.

Operasi selama empat hari bermula 16 hingga 19 Julai tersebut disertai 45 pegawai daripada LHDN Sabah dan Jabatan Perisikan dan Profiling dan dilaksanakan di sekitar daerah Semporna, Sabah.

Ops Bayu merupakan kesinambungan daripada Ops Zapin peringkat negeri Johor yang telah dilaksanakan pada 2 Julai lalu.

Majlis pelepasan operasi ini disempurnakan oleh Pengarah LHDN Sabah, Azrul Hisham Shamsudin bersama barisan pengurusan kanan LHDN negeri.

Dalam ucapannya, Azrul Hisham berkata, beliau optimis operasi ini dapat memperluaskan jaringan cukai dan pengumpulan maklumat bagi memastikan semua zon ekonomi termasuk kawasan terpencil telah direkodkan dalam data HASiL khususnya bagi negeri Sabah.

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiat supaya tahap pematuhan cukai di kawasan tumpuan pelancong ini dapat ditingkatkan selagi gus mengurangkan ketirisan cukai.

“Adalah menjadi harapan kita, pelaksanaan operasi ini akan dapat mencapai objektifnya dalam menyokong agenda pembesaran asas cukai serta meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau mempunyai pertanyaan mengenai percukaian, boleh menghubungi LHDN menerusi Pusat Panggilan di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara), atau menerusi Live Chat, atau menerusi Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDN di pautan pantas berikut.

Show More

Related Articles

Back to top button