Berita Semasa

Kes buli di ALK-UPNM: 8 penambahbaikan, pencegahan sedang diambil

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang melaksanakan lapan langkah penambahbaikan bagi mencegah kegiatan buli di Akademi Latihan Ketenteraan-Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menambah perjawatan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP).
“Pertambahan perjawatan ini melibatkan penambahan pegawai dan LLP. Daripada 31 orang pegawai sebelum ini, ia telah ditambah kepada 48 orang pegawai dan daripada 124 orang LLP ditambah kepada 182 orang LLP.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 24 orang pegawai dan 48 orang LLP telah dilantik sebagai jurulatih. Pelantikan jurulatih ini bagi meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang Pegawai Kadet dengan nisbah 1:20,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha yang dilakukan Mindef bagi memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan.
Beliau berkata, penambahan jumlah jurulatih itu juga membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran pegawai kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil iaitu daripada empat batalion kepada lapan kompeni, yang mana satu batalion dengan jumlah maksimum 320 pegawai kadet kepada satu kompeni dengan hanya 150 pegawai kadet bagi tujuan pemantauan yang lebih rapi.
Selain itu, katanya, tempoh perkhidmatan pegawai dan LLP yang ditempatkan di ALK-UPNM juga dihadkan kepada antara tiga hingga empat tahun untuk menentukan prestasi sebagai jurulatih sentiasa di tahap tertinggi.
Pada masa yang sama, katanya, semua jurulatih yang ditugaskan ke ALK-UPNM perlu menghadiri dan lulus Lembaga Pemilihan dan Penempatan Jurulatih (LPPJ) serta bebas daripada sebarang masalah disiplin.
Dalam pada itu katanya, pihak ATM juga telah menetapkan seorang jurulatih bertugas bagi setiap kompeni bagi membolehkan pemantauan pegawai kadet yang lebih teliti setiap hari.
“Ketiga, jurulatih bertugas telah diarahkan untuk melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas jam 11:59 malam setiap hari. Bermula bulan Febuari 2023, sebanyak 7 kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa aras blok penginapan telah dipasang bagi mengesan aktiviti yang mencurigakan. Kementerian sedang merancang untuk menambah jumlah ini mengikut keadaan dan kesesuaian,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap pegawai kadet yang didapati bersalah berdasarkan Perintah Tetap Pegawai Kadet sejak penubuhan ALK.
“Keenam, bermula April 2024 telah dilakukan pengasingan pegawai kadet tahun satu di Bukit Putera dan diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya memandangkan golongan ini biasanya menjadi sasaran.
“Ketujuh, pemeriksaan fizikal berkala kepada pegawai kadet bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan an sesi pertemuan di antara pegawai kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif diadakan untuk memberi ruang bebas tanpa perasaan takut atau sebagainya bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan pegawai kadet bagi mengatasi isu keengganan pegawai kadet melapor kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button