
Malaysia, Jepun tekad perkukuh kerjasama dalam sektor teknologi pembinaan
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Jepun bertekad untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuhkan kerjasama mengenai perkongsian maklumat dalam pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya, cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal.
Tambahnya, komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Kokuba Konosuke di Tokyo, semalam.
“Pertemuan ini menjadi kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang telah dimeterai sejak 65 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, komitmen memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan Jepun selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara.
“Dalam hal ini saya yakin Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.
“Perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka oleh Malaysia dan Jepun dalam sektor pembinaan selain bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dalam aspek teknikal di peringkat pegawai kedua-dua pihak,” katanya.
Alexander juga berkata, Jepun bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan serta jemputan menyertai program antarabangsa anjuran agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan diadakan tahun ini.
Dua program yang akan dilaksanakan tersebut adalah Highway Concession Conference pada 24 – 25 Sept dan International Construction Week pada November depan.
“Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dihasratkan untuk dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada program Kementerian Kerja Raya sempena Ekspo Dunia Osaka 2025,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |