HiburanLuar Negara

Pelakon Beverly Hills, Shannen Doherty meninggal dunia

LOS ANGELES – Shannen Doherty, pelakon terkenal dengan peranannya sebagai Brenda Walsh dalam drama televisyen popular Beverly Hills, 90210, telah meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat kanser payudara.

Menurut majalah People yang memetik
jurucakapnya, Leslie Sloane, pelakon itu telah bertahun-tahun menghidap kanser dan meninggal dunia pada Ahad lalu.

Doherty secara terbuka berkongsi tentang perjuangannya melawan kanser payudara, yang pertama kali didedahkan pada tahun 2015.

Pada tahun 2023, beliau menjalani pembedahan membuang tumor otak dan kemudian mengumumkan bahawa kanser tersebut telah merebak ke tulangnya.

Selain lakonannya dalam Beverly Hills, 90210, Doherty juga dikenali melalui lakonannya dalam filem “Heathers” dan sebagai Prue Halliwell dalam siri televisyen supernatural Charmed.

Watak Brenda Walsh dalam “90210” menjadikan Doherty terkenal, di mana beliau memainkan peranan seorang pelajar cemerlang dari Minnesota yang menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan kehidupan di Beverly Hills.

Namun, kehidupan di luar skrin tidak kurang dramanya. Doherty terlibat dalam konflik dengan rakan pelakon termasuk Jennie Garth, menyebabkan beliau meninggalkan “90210” pada musim keempat pada tahun 1994 namun siri tersebut berterusan sehingga tahun 2000 tanpa kehadirannya.

Doherty kembali ke skrin dengan watak Prue Halliwell dalam “Charmed” pada tahun 1998, yang juga diterbitkan oleh Aaron Spelling.

Doherty terkenal sebagai gadis nakal ikonik tahun 90-an, sering kali dilabel sebagai seorang yang suka berparti, datang lewat ke set, dan berkonflik dengan rakan sekerja serta pengarahnya.

Dalam podcast “Let’s Be Clear with Shannen Doherty” pada tahun 2023, beliau mengakui mengambil tanggungjawab penuh atas tindakannya dan mengakui kelakuannya akan menjadi sedikit keterlaluan ketika sering mengunjungi kelab malam pada usia 20-an.

Shannen Doherty dilahirkan di Memphis, Tennessee, pada 12 April 1971, dan mula berlakon sejak kecil. Beliau sudah berkahwin tiga kali, yang terbaru dengan jurugambar Kurt Iswarienko, dan beliau memfailkan perceraiannya tahun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button