PM beri sumbangan kepada wartawan hiburan popular mengidap kanser
KUALA LUMPUR – Penderitaan bekas wartawan hiburan popular sekitar tahun 80 hingga 90-an, Huzz atau nama sebenar Kamal Huzaini Kamaludin yang mengidap kanser usus tahap empat mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini berharap sumbangan yang disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi dapat mengurangkan beban yang ditanggung Huzz.
“Hari ini Setiausaha Politik saya, Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi wartawan hiburan, saudara Huzz yang popular ketika era 80an-90an dahulu menerusi penulisan berkaitan dunia artis tanahair.
“Namun empunya badan atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat menderita kanser usus tahap empat.
“Selain bertanyakan khabar, Farhan turut memberikan sedikit bantuan dari pihak saya bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Saya amat berharap pemberian ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada saudara Huzz, Insya-Allah,” katanya.
Huzz pernah menjawat jawatan Pengarang Majalah URTV keluaran Utusan Karya Sdn Bhd menerima rawatan sekitar Mac lalu selepas disahkan mengidap kanser usus tahap empat.