Calon BN akan bertanding di PRK Nenggiri
KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju Barisan Nasional (BN) meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat susulan satu mesyuarat yang diadakan pada 9 Julai 2024.
Katanya, mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri pimpinan tertinggi mewakili BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Pimpinan kedua-dua parti, memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, PRK Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini, manakala penamaan calon pula pada 3 Ogos.
Ia diadakan susulan kerusi disandang Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan kosong kerana hilang keahlian daripada parti BERSATU.
Tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam, 16 Ogos.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Nenggiri kali ini adalah sebanyak 20,259 orang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 21 buah dengan 47 tempat mengundi manakala seramai 431 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK tersebut.