
Sumbangan Tiger Beer untuk konsert amal, bukan sumbangan sekolah – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Wujud persepsi salah membabitkan dakwaan sebuah syarikat minuman keras yang menyalurkan dana kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, Selangor baru-baru ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau ketika menjelaskan perkara itu berkata, syarikat minuman keras itu sebenarnya hanya menaja penganjuran konsert amal dan bukannya memberi sumbangan kepada dana sekolah berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah.
“Apa yang dilakukan adalah penajaan terhadap ‘event’ yang dibuat oleh syarikat itu. Ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah itu.
“Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud,” katanya selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru, di sini, hari ini.
PAS baru-baru ini mengkritik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, kerana menerima replika cek bernilai RM3 juta yang mempunyai logo Tiger Beer di majlis pengumpulan dana untuk SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek, Selangor.
Pada Isnin lalu, Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan itu dan memberi peringatan kepada sekolah untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan pada 2018 yang melarang penerimaan sebarang sumbangan dari syarikat perjudian, tembakau dan arak.
Tiger Beer semalam menafikan ia membuat sebarang sumbangan kepada sekolah dan berkata, peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert (CECC).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |