Politik

‘Saya sarankan mereka buat pemeriksaan mata, bersihkan ‘katarak politik” – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Golongan yang sering memperlekehkan kekuatan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan dan mengharapkan kejatuhannya boleh dianggap sebagai golongan rabun politik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dakwaan kerajaan kini akan tumbang telah timbul sejak setahun yang lalu, namun sehingga hari ini barisan jemaah menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih relevan dan dipercayai masyarakat.

“Saya ada baca satu hantaran di sosial media, rangkuman dari seawal Disember 2022, ada kumpulan yang daripada Disember, tiap-tiap bulan kata bulan ini (kerajaan) akan tumbang.

“Bulan depan, minggu depan akan tumbang, Tahun Baharu Cina akan tumbang, hari raya akan tumbang, bulan lapan, bulan 12 akan tumbang.

“Kepada mereka yang selalu bercakap tentang perkara ini, saya nampak mereka mungkin rabun politik. Jadi, saya menggesa mereka untuk buat pemeriksaan mata dan kena bersihkan ‘katarak politik’,” kata Fahmi dengan nada berseloroh.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pembukaan Bahagian Baharu (Orchid Wing) OasisEye Specialists di Nexus, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Fahmi turut memaklumkan bahawa sebelum ini Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa parti itu akan terus kekal menyokong Kerajaan Perpaduan termasuk Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.

“Kepada mereka yang cuba mengapi-apikan sentimen, pihak berkuasa sedang menyiasat, dan sekiranya berlaku apa-apa pelanggaran undang-undang, maka mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button