Berita Semasa

NADI rekod hasil jualan lebih RM2.56 juta

KUALA LUMPUR – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital, berjaya merekodkan hasil jualan lebih RM2.56 juta bagi tempoh Jun 2021 hingga Disember 2023 di Sarawak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, NADI menjalankan pelbagai latihan keusahawanan dengan lebih daripada 3,850 usahawan di Sarawak mendapat manfaat bagi memperkasakan sosio-ekonomi komuniti setempat.

“Usahawan NADI di Sarawak setakat ini telah berlatih dari segi pemasaran melalui platform dalam talian seperti Shopee dan platform lain.

“Antara kisah kejayaan yang menonjol adalah Cik Ramtiniwaiti Ramlee dari NADI Kampung Gedong di daerah Simunjan, Parlimen Batang Sadong yang telah berjaya menembusi pasaran global termasuk di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol, India, China, Jepun, Indonesia, dan beberapa negara Asia Tenggara lain,” katanya bagi menjawab pertanyaan Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menerbangkan beliau dan produknya, tenunan songket Maskota, ke Persidangan Mudah Alih Dunia di Barcelona, Sepanyol pada tahun ini.

“Ini adalah bukti kejayaan NADI sebagai pemangkin dalam meningkatkan sosio-ekonomi anak-anak Sarawak,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Fahmi menambah bahawa setakat ini terdapat 133 buah NADI yang sedang beroperasi di Sarawak.

“MCMC mengambil langkah untuk menambah bilangan NADI di Sarawak untuk memberi peluang dan ruang kepada komuniti lain untuk memanfaatkan latihan-latihan yang disediakan oleh NADI,” katanya.

Ujarnya, di bawah inisiatif Satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Satu NADI, sebanyak 23 NADI baharu akan diwujudkan.

“Insya-Allah, sebanyak 23 NADI baharu akan diwujudkan sebelum penghujung tahun ini, yang akan menjadikan keseluruhan NADI di Sarawak berjumlah 156,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button