Bank Rakyat tawar kemudahan moratorium kepada pelanggan terjejas banjir di Sabah
KUALA LUMPUR – Bank Rakyat hari ini mengumumkan bantuan khas berupa kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah membabitkan empat daerah iaitu Penampang, Putatan, Tuaran serta Tamparuli.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, tawaran kepada pengguna individu dan perniagaan itu dibuat bagi mengurangkan bebanan dan kesulitan mereka yang terjejas akibat kejadian banjir berkenaan.
“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia MADANI iaitu mengurangkan beban kewangan serta komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu mencabar ini.
“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.
“Ia termasuk produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memaklumkan, pihak yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti bagi mengesahkan alamat pelanggan.
Tambahnya, pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.
“Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau hubungi pusat panggilan di talian 1 300 800 800.
“Mereka juga boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat daripada semasa ke semasa,” katanya lagi.