Berita Semasa

Banjir di Sabah: MCMC bersama syarikat telekomunikasi berusaha pulihkan perkhidmatan rangkaian terjejas

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama dengan syarikat telekomunikasi sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan rangkaian yang terjejas melibatkan 41 menara pemancar di empat buah daerah di Sabah.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, sehingga 10 pagi hari ini, 14 menara pemancar telah berjaya dipulihkan
manakala 27 lagi masih belum dapat beroperasi.

“Daripada keseluruhan jumlah menara yang terjejas, sebanyak 34 menara pemancar terpaksa diputuskan bekalan elektrik oleh pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) atas faktor keselamatan.

“Lima menara pemancar terputus hubungan akibat jalan dinaiki air dan dua lagi menara pemancar mengalami kerosakan peralatan elektronik,” katanya.

Mengikut pecahan daerah, katanya, 13 daripada pemancar di daerah Penampang sudah dibaik pulih dan 19 lagi masih belum beroperasi.

Menurutnya lagi, di Kota Kinabalu, satu pemancar telah kembali beroperasi dengan empat lagi masih dalam proses pembaikan.

“Di daerah Tuaran kesemua tiga menara pemancar belum beroperasi, begitu juga satu menara pemancar di daerah Kota Marudu yang masih terjejas.

“Dalam perkembangan sama, satu daripada lima Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terjejas dan tidak dibuka kepada orang ramai untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali normal.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan bagi membolehkan pusat NADI di Kampung Sungai Damit, Tuaran boleh dibuka untuk operasi sesegera mungkin,” ujarnya.

Sementara itu katanya, bagi memastikan liputan telekomunikasi di semua empat pusat pemindahan sementara (PPS) terus beroperasi dan berada dalam keadaan baik untuk kemudahan mangsa-mangsa banjir di PPS terbabit, pemantauan akan terus dilakukan oleh MCMC Sabah.

Tambahnya, berdasarkan hasil ujian pemantauan kualiti liputan (QoS), tiada aduan berkaitan kualiti liputan yang diterima di PPS berkenaan setakat ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button