Berita Semasa

Bank Rakyat umum dividen 15 peratus, bonus 2 peratus sempena ulang tahun ke-70

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2023 adalah 15 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran dividen kepada 802,823 anggotanya akan dilakukan mulai hari ini.

“Bersempena dengan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70, Bank Rakyat juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak dua peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta dan akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak pada 31 Disember 2023.

“Pembayaran dividen istimewa ini akan dilakukan pada bulan September 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Bank Rakyat ke-70,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau mengharapkan agar penerimaan dividen ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota selain membantu mereka dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Dalam pada itu, Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sebanyak RM1.76 bilion, berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus atau RM64.48 juta.

Menurutnya, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi itu dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar.

Ia dipacu oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan (CASAIA), serta peruntukan penjejasan yang mencukupi.

Mengulas lanjut, jumlah aset Bank Rakyat meningkat sebanyak 1.16 peratus atau RM1.36 bilion kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan sederhana itu didorong oleh pertumbuhan kukuh baki kasar pembiayaan, diimbangi oleh aset perbendaharaan yang lebih rendah sebanyak 3.71 peratus, selari dengan strategi pengurusan portfolio aset perbendaharaan.

“Selain itu, baki kasar pembiayaan pula telah mengekalkan trajektori pertumbuhan positif, meningkat sebanyak 3.82 peratus kepada RM83.51 bilion daripada RM80.44 bilion pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Seterusnya, Bank Rakyat terus optimis dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan perniagaan dan pelan strategik jangka panjang.

Show More

Related Articles

Back to top button